6 Rahsia Saintifik Dalam Pergerakan Solat Membuatkan Saintis Terkejut



Jika senaman tai Chi, yoga atau yang seumpamanya melibatkan pergerakan anggota tubuh badan, namun solat melebihi daripada itu kerana ianya juga memerlukan pelakunya untuk membaca ayat-ayat al-Quran dan doa yang tertentu. Ayat-ayat al-Quran dan doa ini mesti dibaca ketika pelakunya berada dalam postur atau posisi badan tertentu serta melakukan gerakan-gerakan di antara postur.

6 Rahsia Saintifik Dalam Pergerakan Solat
Postur dalam pergerakan utama dalam solat adalah berdiri (qiyam), membongkok (rukuk), sujud dan duduk (tahiyat). Manakala postur melutut juga berlaku seketika dalam gerakan solat di antara dua daripada postur utama iaitu dari postur duduk ke berdiri.

Pergerakan solat yang sempurna melibatkan pergerakan yang sama untuk beberapa kitaran (rakaat). Satu rakaat dalam solat terdiri daripada beberapa postur seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk di antara dua sujud. Rakaat kedua dan terakhir pula mempunyai penambahan postur duduk tahiyat.

Berikut 6 rahsia saintifik dalam pergerakan solat buat saintis terkejut :

1. Qiyam berdiri tegak ketika solat
Dalam konteks solat, qiyam yang dimaksudkan di sini adalah berdiri tegak. Islam memberi kelonggaran atau keringanan untuk mereka yang ada keuzuran boleh melaksanakan ibadah solat secara duduk. Sekiranya tidak mampu duduk, di bolehkan bersolat secara mengiring.

Menurut Mohammed Faruque Reza dari Pusat Perubatan Jepun, mendapati ketika berdiri untuk solat, kita akan cuba untuk fokuskan minda kepada solat. Ini membantu dalam mengurangkan tekanan dan membantu mengawal keseimbangan badan. Berdiri tegak dan lurus akan menjadikan titik beban badan tertumpu pada kedua-dua belah tapak kaki secara seimbang. Rutin ini dipercayai akan melatih menguatkan tulang pada kaki dan membuatkan belakang badan tidak menjadi bengkok.

Semasa berdiri tegak, orang yang bersolat akan bertakbiratul ihram iaitu mengangkat tangan ke telinga dan membawa tangan kanan di atas tangan kiri pada bahagian abdomen. Tangan perlu bersedekap, iaitu kedudukkan tangan kanan berada di atas tangan kiri, dan kedua-dua tangan tersebut berada atas dari paras pusat. Perlakuan ini diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Ketika tangan kanan mengengam tangan kiri aliran darah mengalir meningkat pada bahagian otak post-pusat girus atau post-central gyrus. Ia juga membantu membesarkan rongga dada di mana paru-paru akan terasa luas selain otot tangan dapat digerakkan. Perbuatan melipatkan tangan sebegitu merupakan kedudukan santai atau rehat yang paling sempurna bagi kedua-dua tangan.

Mengikut teori ahli fisiologi, dari posisi dan kedudukan ini, sendi siku dan dan sendi pergelangan tangan serta otot dari kedua-dua tangan berada dalam keadaan rehat penuh. Keadaan ini akan melancarkan pergerakan sendi dan menghindarkan dari timbulnya perbagai penyakit persendian seperti penyakit kekakuan sendi.

2. Pergerakan otot mulut tingkat aliran darah
Ketika bersolat, kita akan membaca surah-surah di dalam al-Quran yang berbahasa Arab. Seperti yang kita tahu, ketika kita bercakap, otot mulut akan bergerak tidak kiralah jika anda berbahasa apa sekali pun. Jadi pergerakan otot mulut ini akan menyebabkan peningkatan pengaliran darah ke bahagian muka, lidah dan deria mulut dan juga bahagian Broca’s dan Wernicke’s di dalam otak ketika membaca ayat suci al-Quran.

Bacaan al-Fatihah mampu menimbulkan rasa rendah diri dan khusyuk kepada pembacanya dengan syarat pembacanya memahami maksud surah tersebut. Dalam bacaan, getaran vokal panjang dapat merangsang hati, kelenjar tiroid, kelenjar pineal, kelenjar adrenal dan paru-paru.

3. Rukuk melurus dan meratakan tulang belakang
Pergerakan badan bergerak ke hadapan dan kedua tapak tangan menggenggam kepala lutut dan punggung mendatar didapati akan menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher dan tulang pinggang. Ia dipercayai mampu menguatkan belakang orang yang mempunyai sakit belakang.

Ruas tulang belakang secara lazimnya terdiri daripada tulang punggung, tulang leher dan tulang pinggang. Penyakit yang biasa menyerang ruas tulang belakang ialah senggal pinggang yang mendadak, sakit pinggang, radang tulang bahu dan senggal otot. Gerakan rukuk yang diajar oleh Nabi s.a.w, boleh menghindari dan menyembuhkan penyakit yang menyerang ruas tulang belakang.

Apabila Baginda s.a.w rukuk, Baginda meluruskan dan meratakan tulang belakang (dalam keadaan 90 darjah) sehingga apabila air diletakkan di atasnya, air tesebut tidak akan tertumpah. Baginda tidak menundukkan kepala (terlalu membongkok) dan tidak pula mengangkatnya (tidak meninggikan kepala dari paras bahunya).

Selain menguatkan tulang belakang, perbuatan ini mampu menguatkan otot perut. Terapi ini terbukti mampu digunakan sebagai rawatan tahan sakit seperti yang tercatat dalam fisilosofi Yogic.

Ia juga berkesan dalam membantu kelenturan (fleksibili) bahagian bahu, lutut dan buku lali. Pergerakan rukuk mengenakan tekanan pada bahagian abdomen yang akan memudahkan masalah sembelit dan pergerakan peristaltis (pergerakan otot perut). Buah pinggang juga akan mengalami “urutan” yang membantu dalam permasalahan penyakit buah pinggang.

Tumakninah atau berhenti dalam keadaan bertenang sebentar, merupakan satu perkara yang perlu dilakukan dalam solat iaitu rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Semasa melakukan posisi ini seseorang itu perlu berhenti seketika sekurang-kurangnya dengan kadar satu tasbih. Menurut kajian Dr.Fatimah Ibrahim Keadaan ini dipercayai mampu memberikan ketenangan kepada seseorang yang bersolat.

4. Sujud kepala menyentuh lantai menggunakan dahi
Sujud merupakan perbuatan melutut di mana kepala diletakkan di bawah menyentuh tanah menggunakan dahi, dan tapak tangan diletakkan selaras dengan telinga. Seluruh berat badan akan terpikul sepenuhnya kepada otot-otot kedua-dua tapak tangan, kaki, dada, perut, punggung dan leher dan otot-otot kaki. Kepelbagaian pergerakan ini memberikan kesan besar yang menyebabkan darah bergerak ke otak manusia. Sujud dipercayai mampu memperbaiki peredaran cerebral pada otak dan mengelakkan penyakit iskemia otak (kekurangan darah di otak).

Pengaliran darah ke dalam bahagian otak memberikan kesan baik kepada memori, penglihatan, pendengaran, konsentrasi, dan keupayaan kognitif yang lain. Orang solat secara kerap mempunyai kadar sakit kepala yang rendah, kurang masalah fisiologi dan masalah kognitif yang lain.

Keunikan posisi sujud menyebabkan otot leher bergerak. Otot leher boleh menanggung beban apabila dahi diletakkan pada tanah dan ini menyebabkan otot leher bertambah kuat, sekaligus menjadikan kepala dapat diimbang dengan baik.

Kajian menunjukkan posisi sujud adalah yang terbaik untuk kesihatan jantung. Seseorang yang mengalami masalah tekanan darah tinggi amat digalakkan untuk sujud dengan lebih kerap dan lebih lama agar dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan.

Dalam kajian mengenai jantung, saintis mendapati posisi sujud mampu mengurangkan dengupan jantung. Kadar dengupan jantung yang rendah untuk sementara waktu memberikan waktu rehat kepada jantung. Ia juga membantu dalam merelakskan saraf tunjang dan mengurangkan risiko tekanan ke atas saraf tunjang.

Saintis di Eropah telah membuat kajian mengenai bagaimana ingin membuang cas positif elektromagnetik yang berbahaya kepada badan manusia. Di dalam kajian terbabit, dia menyimpulkan bahawa cara terbaik untuk mengeluarkan cas tersebut adalah dengan meletakkan dahi di lantai (atau tanah), kemudian tanah akan mengeluarkan cas positif badan.Ini sama seperti kejadian kilat apabila kilat menyambar bangunan yang berada di tanah mempunyai cas positif. Kerana itulah anda perlu membuang cas positif supaya tidak disambar kilat!

Sujud juga merupakan satu terapi yang baik untuk penyakit uterus dalam kalangan wanita. Ia membantu mengubah semula posisi rahim, buah pinggang dan membantu mengurangkan tekanan pada paru-paru.

Bagi pesakit obesiti yang ingin menurunkan berat badan bolehlah mengamalkan posisi ini untuk mengurang lemak di bahagian perut kerana posisi ini membolehkan lutut terbentuk sudut tepat membangunkan otot perut.

5. Duduk antara dua sujud dan tahiyat
Posisi duduk antara dua sujud membantu mengeluarkan racun (toksin) dari hati dan menggerakkan tindakan usus besar. Posisi ini juga membantu dalam penghadaman dengan menekankan kandungan perut ke bawah.

Posisi tahiyat yang dilakukan dengan bertemunya lipatan paha dan betis boleh meningkatkan pengeluaran peluh. Ini dapat mengeluarkan mineral dan garam-garam berlebihan yang tersimpan pada lipatan paha.

Tabiat membengkokkan jari kaki ketika sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir meningkatkan kadar pembakaran lemak dalam badan dan merendahkan risiko penyakit jantung.

6. Gerakan salam menggerakkan kepala ke kanan dan kiri
Gerakan salam dengan menggerakkan kepala ke kanan dan ke kiri dapat merengangkan otot kepala dan leher. Ia merupakan senaman ringan yang membantu dalam memelihara keanjalan kulit wajah.

Perbuatan gerakan salam membantu merenggangkan sendi leher dan membantu melegakan bahu dan otot bahagian belakang. Ia melancarkan salur darah di bahagian leher dan mengurangkan masalah pening kepala dan migrain.

Kesimpulan
Semoga perkongsian ini memberikan kita sedikit ilmu pengetahuan tentang rahsia solat daripada sudut kajian saintifik yang tidak kita ketahui. Ketahuilah solat (yakni solat fardhu) adalah amalan yang keagamaan yang terpenting dalam Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah. Di samping itu solat juga menurut kajian ahli sains merupakan satu bentuk senaman buat tubuh manusia. Moga diri kita kekal sihat dengan bersolat!

Video:


0 Response to "6 Rahsia Saintifik Dalam Pergerakan Solat Membuatkan Saintis Terkejut"

Post a Comment